Segenggam Garam
 Dalam kita bersahabat, terkadang tanpa sengaja kita telah melukakan hati orang lain. Masing-masing mula menjauhkan diri. Tiada lagi kemesraan seperti dahulu. Semuanya hanya tinggal kenangan...
"Kamil, nak mintak tolong sikit bleh tak?", soal si A.
Aku mengangguk perlahan.
"Aku ada buat salah ke? Si B macam tak nak layan aku jer, aku call pun dia tak jawab. Mesej lagila, tak balas langsung...dah seminggu lebih gini", keluhnya dengan penuh pengharapan.
"Ooo, ye ke. Perasaan kau je kot. Aku nampak biasa je. Takpe, nanti aku call dia tanya khabar. Harap kau bleh sabar", jawabku perlahan sebelum melangkah pulang.
++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
Garam. Tentu sahaja masin rasanya. Harganya pun tak mahal. Tetapi sungguh berguna di kala terasa tawar. Mungkin sebagai penyedap rasa.
"Najwa, tolong belikan garam untuk ibu?", laung ibu.
"Nak buat apa bu?", soal adik.
"Ni ha, nak lumurkan kat ikan ni. Nanti busuk pulak", jawab ibu.
Oooo... Najwa mengangguk.
Sekembalinya dari kedai, lantas ibu melumurkan garam itu pada ikan-ikan yang masih segar itu. Kata ibu, kena lumur garam supaya ikan itu tahan lama. Tak cepat busuk.
"Kalau ikan yang dah lama, camne bu?", soal adik.
"Boleh lumur gak", jawab ibu sambil tersenyum.
HIDUP BERSAMA GARAM
Pernahkah kita terfikir mengapa ikan hidup di laut yang masin tidak terasa masin, tetapi ikan masin yang disaluti garam terasa sangat masin? Kerana bezanya ikan di laut hidup, tetapi ikan masin mati. Begitulah jiwa manusia. Jiwa yang hidup tidak akan terpengaruh dengan anasir buruk yang sentiasa cuba untuk dipengaruhi, tetapi 'jiwa mati' mudah sekali terjebak dengan apa juga anasir buruk yang datang kepadanya. Namun, garam bukanlah hanya membawa anasir buruk kepada kehidupan, terkadang ia juga memberi sebuah kehidupan baru kepada sesuatu. Kitalah yang bertanggungjawab melaraskan fungsi-fungsinya sesuai dengan keadaannya.
Garam menghilangkan rasa tawar di lidah. Garam juga memberikan kesegaran yang berpanjangan kepada ikan mahupun daging. Tanpa garam, mungkin yang tawar, akan terus tawar selamanya.
Inilah faktor mengapa saya memilih 'segenggam garam' sebagai tema penulisan pada kali ini.
Dalam menghadapi sesuatu konflik, keterbukaan diri kita sendiri diperlukan bagi menjernihkan kembali keadaan. Bukan senang. Tapi tidaklah terlalu susah, cuma perlu korbankan sedikit keegoan diri, semata-mata demi keutuhan perhubungan yang telah lama terjalin. Jika lumuran garam membolehkan ikan disimpan dalam tempoh yang lama, biarlah garam juga yang menyirami perhubungan sesama kita. Moga-moga, ukhuwwah yang terjalin sentiasa mekar berpanjangan. "Kau cakap senangla, hati ini siapa yang tahu. Dia tu tak asyik berlagak pandai je. Semua dia tahu. Takder benda yang dia tak tahu. Aku dah naik menyampah!", garang bunyinya.
Rencana yang saya bawakan pada kali ini bukanlah untuk menyalahkan mana-mana pihak, cuma sekadar berkongsi idea bagaimana tindakan positif dapat diilhamkan dalam kita melayan karenah setiap manusia yang cukup merimaskan. Setiap masakan mempunyai perencah yang berbeza. Begitulah manusia, walaupun memiliki sekeping hati yang sama, tetapi bahasa hati mereka berbeza ragam.
Bagaimana kita hendak berkomunikasi dengan kepelbagaian karenah ini?
 Pada kesempatan kali ini, saya cuba berkongsi beberapa tips untuk berhadapan dengan seseorang yang digelar 'Ensiklopedia Bergerak' secara positif. Ingat, secara positif, bukan negatif !
Golongan ini selalunya mengangap dirinya tahu belaka, kadang-kadang menjengkelkan. Terkadang, mereka juga digelar ulat buku yang berlagak ! Akibatnya ada orang yang berhajat mahu mengenakan mereka agar melakukan kesilapan.
Persoalannya, adakah membuka aib mereka itu dikira satu tindakan yang terbaik bagi kita? Inilah punca kekusutan yang seringkali berlaku. Kadang-kadang nafsu yang kita dahulukan. Inilah yang menyebabkan yang kusut menjadi semakin rumit untuk diselesaikan. Dahulukan rasional daripada emosi !
Jadi, apa caranya? Cuba kita fikir dari sudut yang berlawanan, kadangkala mereka yang digelar ensiklopedia bergerak ini sangat menguntungkan kita. Merekalah yang akan meningkatkan kesedaran kita untuk menambah ilmu pengetahuan. Bukan begitu? Jadi bagaimana ingin berhadapan dengan mereka dengan jayanya? Di sini saya sertakan beberapa tips yang saya perolehi dari pakar motivasi tempatan.
- Pandai memanipulasikan mereka untuk membangkitkan motivasi ilmu pada orang lain.
- Jangan malukan mereka dikhalayak ramai jika ingin menegurnya untuk mengelak mereka memberontak kerena mereka punya ego yang tinggi.
- Bincang secara tertutup, minta mereka terang idea dan perancangan mereka.
- Dari situ, teroka kelemahan-kelemahan yang ada supaya mereka sendiri sedar kelemahan dan kesilapan yang telah dan mungkin dibuat.
- Dorong mereka untuk sedar sendiri kesilapan yang berlaku akibat mereka.
Buat akhirnya, teringat kisah di antara seorang ahli Sufi dengan anak muridnya yang kelihatan bersedih atas ujian hidup yang telah menimpa dirinya.
Cukup menyentuh hati mendengarkan nasihat ahli Sufi tersebut.
Katanya, "Nak, segala masalah dalam hidup itu seperti segenggam garam. Tidak kurang, tidak lebih. Hanya segenggam garam. Banyaknya masalah dan penderitaan yang harus kau alami sepanjang kehidupanmu itu sudah dikadar oleh Allah, sesuai untuk dirimu. Jumlahnya tetap, segitu-segitu saja, tidak berkurang dan tidak bertambah. Setiap manusia yang lahir ke dunia ini pun demikian. Tidak ada satu pun manusia, walaupun dia seorang Nabi, yang bebas dari penderitaan dan masalah."
"Tapi Nak, rasa 'masin' dari penderitaan yang dialami itu sangat tergantung dari besarnya hati yang menampungnya. Jadi Nak, supaya tidak merasa menderita, berhentilah jadi gelas. Jadikan hati dalam dadamu itu sebesar danau."
Walaupun dicampak segenggam garam sekalipun, pasti danau itu akan mengalirkan air-air masin itu ke tempat lain.
Itulah ibarat diri kita. Walaupun sehebat mana ujian Allah atas ketulusan ukhuwwah kita. Tetaplah menjadi seorang yang berfikiran positif, berlapang dada dan berusaha untuk membuat orang lain berasa dirinya bagus.
Setiap kelemahan yang terdedah itu bukanlah untuk dicaci mahupun dihina, tetapi jadilah penutup kepada setiap lompang-lompang yang kelihatan itu.
p/s : yang bermasam muka tu, dah-dahla..tak elok ^.^
|